Saturday, January 5, 2008
DOA DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUKMIN
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan menunaikan segala perintahNya dan menjauhkan diri daripada segala laranganNya, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang paling bertakwa disisi Allah SWT.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Doa adalah salah satu dari ibadat sunat yang sangat-sangat dituntut supaya dilakukan. Dengan kata-kata lain, doa adalah satu kewajipan ke atas seorang muslim. Kita dikehendaki sering berdoa untuk memohon sesuatu hajat tanpa mengira masa dan keadaan kerana mengharapkan pertolongan dan rahmat Allah. Pintu rahmat Allah SWT sentiasa terbuka untuk hambaNya.
Doa dalam pengertian yang luas, ialah permohonan inayah dari seorang hamba kepada Allah SWT. Pada hakikatnya doa adalah penyataan keberhajatan seorang hamba kepada Allah dan pengakuannya bahawa keupayaan dan kekuatan semata-mata milik Allah SWT. Ia adalah lambang pengabadian dan rasa rendah diri berhadapan dengan keagungan Allah yang menciptanya. Di dalam doa juga terkandung pengucapan pujian dan sandaran sifat pemurah dan penyayang kepada Allah SWT.
Ada orang berkata :
Apa faedahnya doa, sedangkan kadar untuk seseorang sudahpun ditetapkan oleh Allah?. Sesungguhnya doa di syariatkan oleh Allah SWT, supaya ada di dalamnya diri seseorang hamba rasa berharap-harap untuk mencapai keinginannya. Rasa berharap-harap itulah yang mendorong manusia berusaha untuk mendapatkannya, sedangkan orang-orang yang merasa yakin memperolehinya, akan menjadi seorang yang fasik dan malas berusaha. Ingin memperolehi sesuatu dan bimbang akan terlepas, menjadikan manusia kuat bekerja dan berusaha. Harap dan bimbang itulah merupakan paksi ibadat, yang menuntut kesungguhan dan kerajinan dalam mengerjakannya.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Dalam dunia moden hari ini, kekuatan sesuatu bangsa atau golongan, diukur sekuat mana senjata yang dimiliki dan secanggih mana pula senjata itu. Oleh itu industri senjata dan peluru berlumba-lumba mempamerkan produk terbaru mereka. Tetapi di sana ada satu senjata yang tidak dicipta oleh mana-mana kilang senjata, samada di timur atau di barat. Senjata itu hanya milik sekumpulan manusia sahaja iaitu kelompok muslim. Senjata itu senjata rabbani. Senjata para Nabi dan Rasul, malah senjata para Muttaqin sepanjang zaman.
Dengan senjata itulah Nabi Allah Nuh AS terselamat, kaumnya yang kafir tenggelam dalam taufan. Dengan senjata itulah Nabi Allah Musa AS terselamat dari kezaliman Firaun. Dengan senjata itulah nabi Allah Salleh AS terselamat dan kaum Tsamud binasa. Dengan senjata itulah Nabi Allah Hud AS berjaya dan kaum Aad kecundang. Dengan senjata itulah Nabi Muhammad SAW menempa kejayaan gemilang dan kaum musyrikin penentangnya tersungkur. Dengan senjata itulah bangsa Rom dan Parsi di kalahkan oleh para sahabat Baginda.
Para jemaah sekalian,
Senjata yang dimaksudkan itu ialah doa, senjata mukmin sepanjang zaman. Doa disyariatkan sebagai ibadah. Abu Daud, Al-Tarmizi dan Ibnu Majjah ada meriwayatkan :
Daripada Al-Nu'man bin Bashir RA berkata :
Rasulullah SAW bersabda : Doa adalah ibadah. Al-nu'man menjelaskan lagi selepas itu Rasulullah SAW membaca ayat 60 dari surah Ghafir yang bermaksud :
" Dan Tuhan kamu berfirman : "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina."
Hadirin yang dihormati,
Sebenarnya setiap doa pasti akan dikabulkan Allah SWT, asalkan ia bertujuan baik, seperti mengharapkan kesejahteraan dunia dan akhirat, murah rezeki, kesihatan yang baik, tambahan ilmu yang baik, peningkatan iman dan sebagainya. Sebaliknya Islam sangat melarang dan mengharamkan doa yang bertujuan tidak baik, seperti minta dimatikan atau dibinasakan, kerana tidak mampu menghadapi dugaan Allah, dan meminta Allah menurunkan bala ke atas orang yang di dengki. Selain itu kemuliaan doa juga, tidak boleh dicemari melalui upacara-upacara yang bertentangan dengan syariat Islam.
Lapangan untuk kita berdoa sangat luas, tidak ada had sempadannya, kecuali doa yang tidak baik seperti yang dijelaskan tadi. Begitu juga masa dan ketika untuk kita bermunajat dn berdoa kepada Allah SWT terbuka di hadapan kita seluas-luasnya, siang ataupun malam, dalam keadaan susah atau senang. Kalau kita mengingati Allah sewaktu dalam kesenangan, Allah akan mengingati kita waktu kita dalam kepayahan.
Namun, ada beberapa yang sangat-sangat digalakkan kita berdoa, antaranya hari arafat (hari ke sembilan bulan Zulhijjah), bulan Ramadhan, hari Jumaat, waktu selepas tengah malam ketika orag lain sedang nyenyak tidur, waktu antara azan dan iqamah dan banyak lagi.
Rasulullah SAW ada menyebut dalam sebuah hadis yang dnyatakan oleh Anas RA, Baginda bersabda yang bermaksud :
" Doa yang diucapkan antara azan dan iqamah tidak akan ditolak."
(Riwayat Al-Tarmizi, Abu Dawud, dan Hassan).
Antara waktu-waktu yang terbaik dipanjatkan doa kehadrat Allah SWt seperti waktu berangkat ke medan perang untuk menegak atau mempertahankan agama Allah, ketika hujan, sewaktu berbuka puasa, dalam sujud dn dalam musafir yang bertujuan baik lagi diharuskan. Antara hadis yang dapat disebutkan antara lain :
" Waktu yang paling hampir seseorang hamba itu dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud, maka perbanyakkan olehmu doa (dalam sujud)."
(Hadis riwayat Muslim)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bersopan santun dan bersungguh-sungguh ketika berdoa amat dituntut oleh agama. namun kita lihat di mana-mana jua, keadaan sambil lewa atau kurang berharap, banyak berlaku di kalangan mereka yang berdoa atau mengaminkan doa, seperti mengangkat tangan dengan tidak bermaya, meletakkan tangan di atas riba sambil berbual-bual dan lain-lain lagi.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menggariskan adab ketika berdoa :
- Dalam keadaan khusyuk
- Menghadap kiblat dan mengangkat tangan samapi ke paras bahu.
- Merendahkan suara, hanya sekadar didengar oleh telinga sendiri dan orang yang hampir dengan kita.
- Tidak perlu menggunakan kata-kata yang bersajak dan bermadah, cukupkah dengan kata-kata yang sederhana seperti yang selalu diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat .
- Meyakini dngan doa yang dilafazkan. Tidak kecewa dan gelisah jika doa masih belum dikabulkan Allah.
- Memulakan doa dengan memuji Allah dan Rasulnya.
- Bertaubat sebelum berdoa.
Ulamak lain ada menambah berdoa dengan nama-nama Allah yang mulia.
Allah SWT telah memilih untukNya nama-nama seperti :
Al-Hakiimu (Yang Maha Bijaksana)
Al-Kariimu ( Yang MahaPemurah/ Mulia)
Al-'Aliimu ( Yang Maha Mengetahui)
Al-Haliimu (Yang Maha Penyantun)
Al-Hayyu (Yang Maha Hidup)
Al-Qayyum (Yang Maha terus mengurus makhluk)
Zuwaljalaliwalikram (Yang Maha agung Maha mulia) dan lainnya.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Sangat banyak hikmah dan manfaat dari berdoa, antaranya :
- Menampaakkan ketauhidan : Berdoa adalah bukti adanya hubungan dengan Allah.
- Jujur dan ikhlas dalam beribadat.
- Meraih cinta Allah :
Allah amat kasih kepada orang yang banyak berdoa.
- Mendekatkan hamba kepada Allah
- Percaya dengan janji Allah
- Mengusir Syaitan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Doa adalah hubungan langsung antara hamba dengan Allah. Allah Maha mengetahui segala kemahuan hambanya, lantas pintu munajat dan doa dibuka luas, untuk mereka memohon bantuan rahmatNya dan Allah sentiasa bersedia menanti doa hambaNya untuk memperkenankannya.
(Al-Baqarah:186)
"Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran."
-Dipetik dari Khutbah Jumaat 4 Januari 2008
Bersamaan 25 Zulhijjah 1428H
Thursday, October 11, 2007
Perginya Ramadhan & Munculnya Hari Raya ldilfitri
Perginya Ramadhan &
Munculnya Hari Raya Idilfitri
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.
Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka
Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.
"waste of time!!" katanya lagi.
Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).
Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)
Bolehkah Bersuka Ria di Hari Raya?
Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.
Mengapa Mukmin Soleh Bersedih ?
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.
Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)
Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.
Tamatnya Siri Yang Amat Diminati
Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.
Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.
Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.
Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.
Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.
Ringkasan Amalan Di Hari Raya
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.
Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.
Selamat Hari Raya Idil Fitri
"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"
Sekian dahulu,
Zaharuddin Abd Rahman
27 Ramadhan 1428 H
9 Oktober 2007
Post by:sheikh_along@yahoo.com
Disediakan oleh
-Bro Alhariz-

